Followers

Sunday, November 30, 2014

Kanser Limfoma #kanser @ Kanser

ORANG Melayu paling ramai menghidap barah limfoma berbanding kaum Cina dan India di Singapura. Bagi setiap 100,000 penduduk, 21.3 merupakan lelaki Melayu yang menghidap kanser limfoma. Bilangan ini lebih tinggi berbanding 15.3 pesakit lelaki Cina dan 15.2 pesakit lelaki India yang menghidapi kanser tersebut.

Di kalangan wanita, bagi setiap 100,000 penduduk, 14.7 merupakan wanita Melayu yang menghidap kanser limfoma – lebih tinggi berbanding 9.6 pesakit Cina dan 9.4 pesakit India yang menghidapi kanser itu. Meskipun kaum Melayu mendahului kaum lain dalam kanser limfoma, bilangan pesakit kanser Melayu secara keseluruhan adalah sekitar 1.5 hingga dua kali lebih rendah daripada kaum Cina. Demikian perangkaan daripada laporan Pejabat Pendaftaran Penyakit Nasional (NRDO) mengenai trend penyakit kanser di Singapura antara 2007 dengan 2011.

Menurut Konsultan Jabatan Radiasi Onkologi di Hospital Tan Tock Seng dan Institut Kanser Universiti Nasional (NCIS), Dr Choo Bok Ai, orang Melayu mendahului kaum lain dalam kanser limfoma sejak tahun 1998. Namun, beliau berkata buat masa ini tidak ada penjelasan kukuh mengapa kadar limfoma lebih tinggi di kalangan orang Melayu dan berpendapat ia mungkin bergantung kepada genetik, faktor sekitaran dan perbezaan dalam gaya hidup.

Lymphoma EBV-PositiveLymphomaKanser limfoma menjejas sistem limfa.
Ia terbahagi kepada limfoma Non-Hodgkin yang lebih kerap menjejas pesakit berusia 55 tahun ke atas dan limfoma Hodgkin yang menjejas orang muda berusia antara 15 dan 20 tahun dan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Bilangan pesakit yang menghidapi kanser limfoma telah meningkat dari 1,746 pesakit antara tahun 1998 dan 2002 ke 2,839 pesakit antara tahun 2007 dan 2011.

Pesakit kanser limfoma di peringkat pertama dan kedua mempunyai 80-90 peratus harapan sembuh manakala pesakit di peringkat lebih lanjut hanya mempunyai 40-60 peratus harapan. Dr Choo juga berkata kebanyakan kes kanser limfoma tidak diketahui sebabnya. Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser limfoma adalah pendedahan kepada ubat pembunuh serangga (pesticide), merokok, bekerja dalam industri berkaitan dengan kayu, sistem imun atau daya tahan penyakit yang rendah dan jangkitan beberapa jenis virus.

Antara tanda-tandanya ialah nodus atau ketulan besar yang ketara di leher, ketiak dan bahagian kemaluan serta hilang selera, berat badan yang menurun dan demam yang berterusan. Buat masa ini, tiada ujian saringan boleh dilakukan untuk mengesan kanser limfoma.

Di Singapura, secara keseluruhan, kanser limfoma adalah kanser kelima paling kerap dihidapi kaum lelaki dan ketujuh paling kerap dihidapi kaum wanita. Antara tahun 2007 dengan 2011, seramai 26,267 lelaki dan 27,734 wanita menghidapi kanser. Tiga kanser paling biasa dihidapi kaum lelaki ialah kanser usus besar (17.6 peratus), kanser paru-paru (15.6 peratus) dan kanser prostat (11.8 peratus).

Bagi kaum wanita pula, tiga kanser paling biasa dihidapi ialah kanser buah dada (29.3 peratus), kanser usus besar (13.9 peratus) dan kanser paru-paru (7.8 peratus). Namun, bagi golongan Melayu, kanser yang paling biasa dihidapi kaum lelaki ialah kanser paru-paru (18.3 peratus) diikuti kanser usus besar (15.3 peratus) dan kanser limfoma (12 peratus).

Dr Choo berkata kanser paru-paru mendahului senarai itu kerana jumlah perokok di kalangan lelaki Melayu adalah tinggi. Rokok mempunyai 4,000 bahan kimia yang membahayakan badan dan 70 daripada bahan kimia ini boleh menyebabkan kanser paru-paru. Jika seseorang merokok lebih 25 batang rokok sehari, dia mempunyai 25 kali lebih kemungkinan terkena kanser paru-paru berbanding bukan perokok, kata Dr Choo.

Di kalangan wanita Melayu ,kanser paling biasa dihidapi ialah kanser buah dada (32.2 peratus), kanser usus besar (10.8 peratus) dan kanser limfoma (7.4 peratus). Dr Choo berkata meskipun kanser paru-paru adalah kanser ketiga paling kerap di kalangan wanita Singapura, ia adalah kanser keenam di kalangan wanita Melayu. Ini mungkin kerana wanita Melayu kurang menghisap rokok berbanding kaum lain, kata beliau lagi.
Sepertiga jenis kanser boleh dielak.

TAHUKAH anda bahawa sepertiga jenis kanserh boleh dielakkan? Caranya pula agak mudah iaitu dengan menjaga pengambilan makanan, bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini dijelaskan oleh Konsultan Jabatan Radiasi Onkologi Institut Barah Universiti Nasional (NCIS), Dr Choo Bok Ai, dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau berkata kanser biasanya dapat dikekang menerusi gabungan beberapa faktor dalam gaya hidup seseorang. Pemakanan anda memainkan peranan penting. Senaman pula membantu meningkatkan sistem imun atau daya tahan penyakit dalam diri anda, menguatkan tubuh serta membantu anda mengawal berat badan. Jika anda hanya melakukan satu daripadanya iaitu bersenam tetapi tidak menjaga pemakanan, ia boleh membantu menghalang beberapa jenis kanser seperti kanser usus dan kanser buah dada tetapi jika anda melakukan kedua-duanya adalah lebih baik, kata Dr Choo, yang juga Konsultan Jabatan Radiasi Onkologi di Hospital Tan Tock Seng sejak empat tahun lalu.

No comments: