Tahun 2012 melabuhkan tirainya dengan
cerita duka kematian artis FTV, Cecilia Vickend. Wanita berusia 26 tahun itu
diserang kanser rongga mulut, dengan gejala awal sariawan yang tidak
sembuh-sembuh. Ada kemungkinan penyakit itu menyerang kita juga.
Menurut
doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), Kartika Dwiyani, kadang-kadang
pesakit kanser rongga mulut tidak menyedari keadaan yang dialaminya itu.
"Pesakit tidak mengadu kesakitan," ujarnya.
Padahal menurut beliau, ada
beberapa tanda yang menunjukkan seseorang diserang kanser rongga
mulut.
Pada awalnya tentu ada luka (merujuk pada keadaan tisu yang
abnormal pada tubuh) awal kanser. Misalnya, muncul tompok putih (leukoplakia)
atau tompok merah (eritroplakia) di rongga mulut dan luka (ulser) atau yang
biasa dikenali sebagai sariawan. Ciri-ciri sariawan: bahagian tepinya terasa
keras, ia berbonjol sedikit berbanding bahagian sekitarnya, bahagian dasarnya
berbintil-bintil dan mengelupas, serta kadang-kadang mudah berdarah.
"Oleh kerana tiada rasa sakit, pesakit sering kali berjumpa doktor
ketika kanser sudah dalam peringkat kritikal," ujar doktor lulusan Universiti
Indonesia ini.
Justeru sekiranya tanda-tanda tersebut dialami, Kartika
menyarankan agar pesakit segera berjumpa doktor pakar yang berkaitan, dan bukan
doktor am. Jika cuma sariawan, ia boleh sembuh dalam tempoh 7-10 hari atau
dirawat dengan ubat seperti ubat antiradang.
Menurut Kartika lagi, kanser
rongga mulut berpunca daripada faktor lokal, luaran serta pesakit sendiri.
Faktor lokal meliputi kebersihan mulut. Ini berkaitan dengan kekerapan memberus
gigi dan rawatan gigi berlubang. Keradangan kronik boleh berlaku kepada pesakit
yang keadaan kebersihan mulutnya amat buruk.
"Keradangan kronik yang
berlaku di rongga mulut adalah faktor risiko berkembangnya kanser rongga mulut,"
tegasnya. Bagi faktor luaran, Kartika menjelaskan yang punca utamanya ialah
kebiasaan merokok dan minum alkohol. Penyelidikan di Sepanyol pada 2004
mendapati perokok dan peminum alkohol mempunyai risiko 50 kali ganda lebih
tinggi untuk diserang kanser rongga mulut berbanding individu bukan perokok dan
peminum alkohol.
Mengapa ini terjadi? Ahli Persatuan Pakar Perubatan ENT
Indonesia itu menjelaskan, tembakau yang terdapat dalam rokok mengandungi
kira-kira 50 bahan karsinogenik iaitu bahan yang mencetuskan kanser kerana
kemampuannya merosakkan metabolisme sel.
Sementara alkohol pula
berperanan sebagai larutan yang dapat mendedahkan mukosa terhadap bahan
karsinogenik. Ini mengakibatkan penyerapan bahan pencetus kanser ke dalam mukosa
rongga mulut.
"Zat dalam alkohol juga boleh mengganggu metabolisme sel dalam
tubuh, misalnya sel rongga mulut," katanya. Bahkan, pendedahan kepada sinar
ultraungu yang berlebihan juga boleh mengakibatkan kerosakan sel sehingga
mencetuskan kanser. Selain sinar ultraungu, pemakanan juga boleh menjadi
faktor risiko terjadinya kanser rongga mulut.
Jangkitan virus papiloma
manusia (HPV). Jangkitan ini tiada gejala dan boleh disebarkan melalui hubungan
seks atau melalui ibu kepada bayi yang dilahirkannya.
Individu yang
dijangkiti HPV juga boleh sembuh sendiri tanpa menimbulkan sebarang gejala
apapun. HPV dapat menghasilkan protein yang boleh mengganggu metabolisme sel
normal, sehingga mencetuskan kanser.
"Kanser rongga mulut yang berkaitan
dengan jangkitan HPV biasanya berlaku pada usia muda," kata Kartika.
Sementara itu, punca dari dalam diri pesakit sendiri yang menjadi risiko
terjadinya kanser rongga mulut ialah faktor genetik atau keturunan. Dari segi
usia, kanser rongga mulut biasanya berlaku pada pesakit yang berusia lebih 55
tahun.
"Namun ia boleh berubah mengikut banyaknya jangkitan HPV tadi,"
katanya.
Lantas, bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini?
Kartika menekankan bahawa tidak semua kes kanser rongga mulut boleh
dielakkan. "Tetapi kita boleh mengurangkan faktor risiko penyebabnya," jelas
beliau.
Salah satu caranya adalah mengelakkan tabiat menghisap rokok dan
minum alkohol. Pemakanan yang sihat serta mengurangkan pendedahan langsung
kepada sinar ultraungu juga dapat mengurangkan faktor risiko penyebab
kanser.
No comments:
Post a Comment