Followers

Wednesday, May 5, 2010

Durian Belanda Dan Ikan Puyu.

Nukilan: AbnormalSuam.

Memang aku teringin sangat hendak menjamah isinya yang masam-masam manis. Apatah lagi kalau diletakkan dua tiga ketul ais. Cuaca yang hangat membahang dan menggigit kulit, mampu diselesakan dengan jus durian belanda.

Di kedai makan, banyak yang menjual jus durian belanda. Malangnya, bagi aku yang disajikan bukanlah jus durian belanda, sebaliknya air celupan durian belanda dengan isi dua tiga ulas yang turut mengandungi bijinya yang keras tajam berwarna hitam.

Hendak dibeli, rasanya macam tidak berbaloi. Durian belanda yang dahulunya tidak ada tempat di hati sesiapa pun, kini berharga RM7.50 sekilo. Sudah semakin ramai yang tahu bagaimana hendak memakan buah 'cikai' ini.

Aku masih ingat, dahulu buah ini berlambak. Tidak ada sesiapa pun yang ingin memberikan perhatian kepada buah ini. Jangankan manusia, lembu dan kambing pun tidak berselera hendak menjamahnya. Pokoknya berselerak. Tidak ditanam, sebaliknya tumbuh sendiri.

Paling aku menyampah pada pokok ini ialah, ia menjadi sarang kerengga yang cukup subur. Di mana-mana sahaja sarang kerengga boleh dilihat pada daun-daunnya. Dan kerengga-kerengga di pokok durian belanda cukup garang. Pantang letak jari atas rantingnya, menderu-deru serangga yang berpunggung ala J-Lo itu datang. Kalau tidak diketik, dikencingnya biji mata.

Kecuali kalau aku teringin hendak memancing puyu. Umpan memancing puyu cukup jenuh di pokok durian belanda ini. Anak-anak kerengga yang berwarna putih adalah jampi mentera dan serapah yang cukup ampuh untuk membuatkan puyu menggilai mata pancing aku.

Untuk mengambil anak-anak kerengga itu, aku hanya perlu menyalakan jamung yang aku buat sendiri menggunakan pelepah kelapa. Nyalaan dihalakan ke sarang kerengga dan apabila sarang itu terbuka, anak-anak kerengga serta kerengga-kerengga dewasa akan jatuh ke tanah. Bagi mengelakkan aku diketik kerengga, jamung itu jugalah yang aku gunakan untuk membunuh kerengga-kerengga dewasa yang sedang kebingungan.... aaahaha...

Tiga sarang besar kerengga sudah cukup untuk melalaikan aku dengan batang joran dari pagi sehingga ke petang. Tempat yang menjadi sasaran aku memancing puyu adalah di parit di kebun jauh. Kebun jauh bermakna, dusun tok wan yang terletak bersempadan dengan estet orang putih dan letaknya lebih kurang 4 kilometer dari rumah.

Kalau hendak memancing puyu, pastikan mata yang digunakan adalah bersaiz kecil. Kalau saiz besar macam yang digunakan oleh kaki-kaki pancing di sungai dan laut, jawabnya, pancing akar pokok selaput tunggul sahajalah.

Joran aku sekadar batang bertam. Bermodalkan tali tangsi dan mata kail yang dibeli dengan harga sekupang empat mata, malam nanti aku pasti berlaukkan ikan puyu. Kalau tidak bernasib baik, aku hanya boleh dapat ikan seluang dan ikan tebal sisik yang bertompok hitam pada belakangnya.

Sebenarnya durian belanda adalah buah yang banyak khasiatnya. Dahulu, orang tidak tahu. Sekarang, orang sudah tahu bahawa durian belanda merupakan pembunuh sel-sel barah yang paling efektif dan jauh lebih murah berbanding rawatan kimoterapi.

Kulit batang, daun dan buahnya memang boleh digunakan untuk rawatan kanser prostat, payudara dan usus. Malah, mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis juga, elok mengamalkan memakan buah durian belanda ini kerana sifatnya yang menuetralkan darah dan salur darah.

Aku tidak tahu kalau tidak membaca di Internet. Maklumat-maklumat tentang Soursop, Graviola, Guanabana dan Sirsak banyak terdapat dalam pelbagai bahasa di Internet. Semua nama yang aku sebutkan itu membawa maksud Durian Belanda.

Sekadar info ringkas, buah durian belanda berfungsi sebagai anti bakteria, anti fungus, berkesan melawan pelbagai jenis parasit dan cacing, menurunkan tekanan darah tinggi, kemurungan, stress dan menormalkan kembali sistem saraf yang kurang baik.

Apa pun aku suka rasa isinya yang masam-masam manis. Kali pertama aku berbulan puasa di rumah mertua di Melaka, aku kutip buah-buah durian belanda yang gugur di sudut halaman dan tidak diendahkan oleh sesiapa pun. Aku bawa ke dapur, aku kupas kulitnya dan isinya aku letakkan di dalam peti sejuk.

Dek kerana banyak, sebahagiannya aku hancurkan dengan pengisar dan aku jadikan jus. Ternyata, keluarga mertua aku tidak berselera dengan air buah durian belanda. Apatah lagi disebabkan terlalu pekat dan likat, berwarna putih, barangkali mengingatkan mereka kepada muntah kucing.... ehehehe...

Aku sekadar letakkan di dalam jag dan aku masukkan ketulan-ketulan ais. Sementara menunggu waktu berbuka, aku ke ruang hadapan. Sebaik-baik sahaja waktu berbuka, hanya aku yang meneguk air durian belanda sejuk itu dengan penuh berselera, sedangkan orang lain mencebik bibir.

Hanya dua gelas, dan aku pun kekenyangan. Aku biarkan di atas meja. Dan tatkala aku kembali untuk mengambilnya, jag berisi air durian belanda kisar, sudah kosong!

"Air apa ni, Pak Ngah?" anak saudaraku yang bernama Abdul Fatah segera bertanya.

"Air durian belanda," kataku. Aku sebenarnya sangat kecewa tetapi perasaan itu aku pendamkan jauh di sudut hati.

"Durian belanda?" Abdul Fatah bertanya lagi.

"Sesepoh!" orang rumah aku segera memberitahu.

"Oooo... sesepoh... tapi... kenapa Pak Ngah kata durian belanda?"

"Pasai Pak Ngah orang Kedah. Orang Kedah panggil menatang ni, durian belanda. Sebabnya, pokoknya macam belanda. Kalau tak ditebang, habis pokok lain tak boleh ditanam," kataku. Entah betul atau tidak, aku main belasah sahaja.

Dan saat itu, aku teringatkan ayam belanda yang bunyinya sekali dengar macam orang bagi salam!