Followers

Tuesday, October 27, 2009

Kerap diranjang punca kanser.

KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia. Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.

“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.

“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser berkenaan pada peringkat awal.

“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.

'JALANI ujian pap smear.' - B.K. TAN

Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.

“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.

“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.

“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.

“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.


Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.

“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.

“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.

Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.
Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.

Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.

Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).
“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.

Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.

Vaksin Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.
Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.

Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks
“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.
Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.

Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.

“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.

“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.

Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.

“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.

“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.

Tuesday, October 20, 2009

Rahsia Tauge

Menu TAUGE untuk hidangan makan tengah hari mahupun makan malam sering kali dipandang sebelah mata oleh kebanyakan kita. Tauge dilihat sebagai hidangan yang langsung tidak menyelerakan.
Tapi tahukah anda, tauge yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Tauge dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan tauge oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan oleh golongan ini makin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.
Bagaimanapun, khasiat tauge tidak sekadar penyumbang kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.
Mengikut kajian yang dijalankan tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia ya berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.
Selain itu, tauge juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam tauge dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis).
Pengambilan tauge oleh wanita secara kerap dapat membantu mereka menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi,simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.
Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan tauge secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus.

Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil tauge dalam menu harian mereka. Saponi dalam tauge, menghalau "lemak jahat" LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.
Selain sarat DNA, tauge padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan tauge merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda.
Satu lagi khasiat tauge yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama tauge dalam memerangi sel kanser. Apabila kotoran segera meniggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser.

Selepas membaca kebaikan sayur tauge janganlah ragu-ragu lagi untuk mengambilnya.
Jadi apalagi, mari kita ramai-ramai makan tauge hari-hari.

Tuesday, October 13, 2009

Sotong Kering Punca Kanser.


GEORGE TOWN - Ramai mengetahui keenakan sotong kering ditambah lagi jika dimasak sebagai sambal.
Namun Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, tidak mungkin ramai pengguna sedar bahawa sotong kering kaya dengan logam toksik jenis kadmium, bahan yang sama digunakan dalam membuat bateri, plastik dan baja fosfat.
"Kesan pengambilan kadmium mendedahkan seseorang terhadap kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang,'' kata Presidennya, S. M. Mohamed Idris pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Menurutnya, selain sotong kering, makanan laut kering lain seperti tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium tetapi pada kadar yang lebih rendah.
"Hasil ujian yang dilakukan mendapati kandungan kadmium dalam sotong kering melebihi empat kali ganda had yang dibenarkan,' ' ujarnya.
CAP membuktikan perkara itu melalui ujian rawak melibatkan enam sampel sotong kering dan hasilnya mendapati lima sampel mengandungi kadmium serta tiga daripadanya mempunyai kandungan logam itu secara berlebihan.

Tuesday, October 6, 2009

Jenis-jenis Kanser Yang Menyerang Wanita - Siri 1

Salam kepada pembaca sekalian, telah lama blog ini tidak dikemas-kini kerana saya terlalu sibuk dengan Ramadhan dan Syawal di samping terlalu lemah menjalani kimoterapi. Di saya ingin berkongsi maklumat berkaitan kanser.

PENGURANGAN risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.

Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.

Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya. Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas (malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).

Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.

Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.

Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.

Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.

Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal pasti kanser di peringkat awal.

Petanda awal

Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus besar.

Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi lalat atau mana-mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu.

Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak hilang dan juga perubahan pada suara.

Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.

Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun, jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.

bersambung.... (Tanda-tanda awal kanser dan jenis kanser, harap bersabar....)

Oleh Prof. Madya Dr. Shah Reza (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM))